Cara Buat Duit Dengan Bisnes Tuisyen di Malaysia

usahawan tuisyen, tutorpreneur

Tips Bagi Tutor Yang Ingin Ingin Mula Jana Pendapatan Dengan Tuisyen

Adakah salah untuk kita ‘buat duit’ dengan tuisyen atau mengajar?

Bagi saya tidak salah jika kena caranya, niat yang betul serta berikan yang terbaik kepada pelajar dan klien.

Sebenarnya tidak susah untuk mengajar tuisyen lebih-lebih lagi apabila melibatkan pelajar yang sedikit. Kita dapat fokus pada kelebihan dan kelemahan pelajar tersebut serta membantunya sehingga pelajar tersebut dapat mengatasi kelemahan dan menguasai subjek tersebut.

Pengalaman saya sendiri mengajar adalah ketika saya sudah bekerja sebagai di sebuah syarikat Multi National Company (MNC), ketika itu kawan saya  seorang tutor secara sepenuh masa menawarkan saya ‘job’ yang mana beliau tidak dapat memenuhinya.

Saya masih ingat lagi subjek ketika itu ialah Sejarah Tingkatan 2 dan pelajar saya berbangsa India. Berbekalkan sedikit nasihat dan teknik- teknik mengajar, saya memberanikan diri saya untuk mengajar. Alhamdulillah, ia berjalan dengan lancar dan klien juga berpuas hati dengan pengajaran tersebut.

Anda tidak semestinya mempunyai diploma mahupun ijazah dalam bidang pendidikan untuk mengajar tuisyen. Jadi bagaimana ingin bermula?

Ini adalah tips-tips ulung bagi anda yang baru bermula sebagai tutor tuisyen.

  1. Mulakan dengan mengajar subjek sekolah rendah.
  2. Sentiasa update perkembangan dunia pendidikan terkini seperti Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) & Science Technology Engineering Maths (STEM)
  3. Semak kembali buku rujukan dan buku latihan terbaru di pasaran.
  4. Lihat buku latihan terbaru yang berada di pasaran dan cuba buat latihan tersebut.
  5. Belajar daripada rakan, mentor dan coach yang berpengalaman dalam bidang ini.
  6. Hadiri seminar, kursus yang berkaitan untuk memantapkan kemahiran.
  7. Mencari maklumat perkembangan dunia pendidikan di Malaysia di internet.
  8. Bertanya kepada guru-guru yang mengajar di sekolah tentang perkembangan dunia pendidikan.

Walaubagaimanapun, segalanya bergantung kepada diri kita 
sendiri. Untuk mempunyai pengalaman, kita mesti bermula dan mengambil tindakan! Pada mulanya mungkin kita akan rasa sukar dan sebagainya. Lama-kelamaan ia akan menjadi mudah bagi kita. Sampai ke suatu tahap, mungkin tidak perlu membawa buku kerana ia sudah sebati dalam minda.

Jadi, sentiasa berfikiran positif dan memperbaharui niat setiap kali mengajar. Apabila anda telah berusaha sebaik mungkin, yang lain serahkan pada Allah kerana Dia-lah tempat kita mengadu dan meminta.

Apa Yang Penting Yang Perlu Anda Ketahui Sebagai Cikgu Tuisyen?

  • Subjek yang boleh diajar

Langkah pertama adalah untuk membuat keputusan tentang subjek dan tahap yang anda pilih untuk mengajar tuisyen. Kemungkinan pada permulaannya anda akan akan mengajar beberapa subjek dan tidak lama kemudian, anda akan dapati bahawa anda lebih suka kepada subjek A berbanding subjek B. Dalam erti kata lain, adalah bagus untuk fokus kepada subjek yang anda minat supaya ia boleh menjadi bidang kepakaran anda. Contohnya guru pakar hanya pakar bagi subjek tertentu sahaja. Mereka tidak akan menjadi pakar untuk banyak subjek.

Tutor tidak akan seronok mengajar subjek yang dia tidak biasa. Sentiasa tanyakan pada diri anda adakah subjek tersebut adalah yang anda minat?

Anda mungkin mendapati bahawa ibu bapa yang pada mulanya meminta anda untuk mengajar sesuatu subjek contohnya Bahasa Melayu, akan meminta anda untuk mengajar subjek lain seperti Matematik jika mereka merasakan anda merupakan tutor yang bagus dan sesuai dengan anak mereka.

Jika ia masih di dalam bidang yang anda mampu, maka tiada masalah untuk anda mengajar. Namun, jika anda tidak yakin atau kurang selesa mengajar subjek tersebut, maka elakkan daripada mengajar subjek tersebut kerana ia akan memberi kesan yang kurang baik kepada pelajar anda dan juga reputasi anda sebagai tutor.

Juga, perlu diingat bahawa ibu bapa menganggap anda ‘pakar’ dalam subjek tersebut. Jadi mereka akan meminta pandangan serta bantuan kita terhadap subjek yang bakal kita ajar seperti:

 

  • Berapa jam masa yang diperlukan dalam seminggu

Kebiasaannya, minimum masa yang diperlukan adalah 1 jam seminggu bagi setiap subjek. Namun, kadar jam ini adalah subjektif dan ia bergantung kepada keadaan pelajar itu sendiri. Ada pelajar yang hanya memerlukan 1 hingga 2 jam seminggu. Ada juga pelajar yang memerlukan masa yang lebih disebabkan ketinggalan dalam pelajaran.

Saya sendiri mempunyai pengalaman mengajar seorang pelajar yang tidak bersekolah kerana mempunyai masalah peribadi. Jadi masa yang diperuntukkan untuk setiap subjek lebih lama berbanding kebiasaan dan bilangan subjek juga lebih banyak. Menjelang peperiksaan pula, kebiasaannya ibu bapa akan meminta supaya jam mengajar ditambahkan sebagai intensif bagi menghadapi peperiksaan.

 

  • Apa yang hendak diajar

Ibu bapa juga menganggap kita mengetahui apa yang terbaik untuk diajar pada anak-anak mereka. Jadi, mereka akan mengharapkan kita untuk menyediakan bahan-bahan yang sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran anak-anak mereka. Sebaiknya, kita mempunyai sebuah atau beberapa buah buku rujukan subjek yang berkaitan, buku latihan, atau soalan-soalan peperiksaan tahun lepas dan lain-lain. Kita juga boleh menggalakkan mereka mempunyai buku rujukan sendiri supaya pelajar itu dapat membuat ulangkaji dalam subjek walaupun kita tiada.

 

  • Motivasi

Kebiasaanya, cabaran yang dihadapi oleh para pelajar adalah kurangnya motivasi untuk belajar dek kerana kurangnya orang dapat memberi tunjuk ajar kepada mereka. Kemungkinan mereka mempunyai masalah dalam menghadam pembelajaran yang diberikan di sekolah menyebabkan mereka memerlukan masa dan tutor yang khusus untuk memberi motivasi serta gambaran yang jelas tentang teknik pembelajaran yang betul dan sesuai dengan mereka.

 

  • Reputasi

Sebagai tutor, kita perlu menjaga reputasi kita sebagai seorang tutor yang mantap dan komited. Antara ciri tutor yang komited adalah menjaga disiplin dari segi masa, memastikan pelajar memahami apa yang diajarkan dan menggunakan segala cara yang ada bagi memastikan pelajar faham dan seronok dengan proses pembelajaran. Sehingga sampai suatu tahap dimana para pelajar tidak sabar-sabar menunggu kedatangan anda untuk belajar!

 

  • Niat, fokus bantu orang lain

Pelajar terutama mereka yang tidak cemerlang dalam akademik cenderung mudah bimbang dengan kerja rumah yang diberikan di sekolah. Mereka ini cenderung untuk berada di bawah purata yang akan dilabel sebagai “IQ rendah” dan pelajar sebegini diasingkan mengikut kelas. Terdapat di antara pelajar yang cenderung untuk tidak menunjukkan atau menyiapkan tugasan mereka dan rela diberi markah sifar berbanding menghadapi penghinaan kerana tidak menjawab soalan dengan tepat.

Ramai guru serta pegawai sekolah bersetuju bahawa pelajar yang mengikuti ‘home tuition’ menunjukkan prestasi akademik yang lebih baik. Ia menunjukkan bahawa pelajar ini menimba ilmu bukan sahaja apabila sesi tunjuk ajar yang dilakukan di rumah tetapi juga menunjukkan keyakinan dalam menjawab soalan semasa pembelajaran di sekolah.

Seseorang pelajar yang mempunyai masalah dalam kerja sekolah mungkin teragak-agak untuk meminta bantuan daripada orang lain. Hasilnya, mereka tidak tahu kelemahan diri mereka dan sukar untuk mereka mendapat keputusan yang baik dalam pelajaran. Antara kelebihan tuisyen di rumah lagi adalah pelajar tersebut dapat bertanya kepada tutor tanpa berasa segan dengan orang lain. Jika pelajar ini merasakan bahawa terdapat seseorang yang boleh diminta bantuan dalam menyempurnakan tugasannya, ia akan menjadi lebih mudah untuk dia menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru.

Di samping itu, tutor juga dapat membantu dalam membimbing (coaching) pelajar tanpa mengira sesukar manapun sesuatu subjek atau topik itu sehingga mereka boleh mengendalikannya walaupun tanpa kehadiran guru mahupun tutor.

Selain daripada membina asas yang baik, menyediakan bantuan pembelajaran melalui tuisyen di rumah akan menjadikan pelajar itu memahami apakah perkara yang perlu diperbaiki. Ini mungkin berkaitan dengan mata pelajaran yang diambil di sekolah atau topik tertentu yang perlu dipelajari.

 

  • Syukur

Allah berfirman dalam al-Quran .

“Apabila kamu bersyukur, nescaya Aku tambahkan lagi nikmatKu, Apabila Kamu kufur, ketahuilah sesungguhnya azab Aku amat pedih.”

Rahsia orang yang berjaya dan bahagia adalah dimulai dengan bersyukur. Tanpa nikmat syukur, sehebat mana pun kita, kita akan sentiasa berada dalam keadaan yang resah dan gelisah. Orang yang bahagia adalah orang yang sentiasa bersyukur dan redha pada apa yang berlaku dalam kehidupannya.

Pertama, dengan menjadi seorang tutor, kita harus bersyukur dan berbangga kerana dapat berkongsi ilmu dengan orang lain kerana ia bakal menjadi saham kita di akhirat nanti.

Keduanya, kita akan disayangi oleh orang lain atas komitmen kita mengajar dan membantu orang lain. Pernahkan kita mendengar bahawa ‘What you give, you get back.’ Dengan membantu orang lain pada masa ini, Insya Allah, Allah akan membantu kita melalui orang lain pada masa hadapan. Mungkin hari ini kita membantu anak orang lain, di waktu lain pula, orang lain pula akan membantu anak kita. Siapa tahu?

 

Minda Usahawan Gaya Robert Kiyosaki

Robert Kiyosaki yang merupakan penulis dalam bidang kewangan dan dikenali melalui buku ‘Rich Dad Poor Dad’ yang merupakan bestseller telah menceritakan tentang The 4 Quadrant iaitu

Pentingnya kita mempunyai minda usahawan dengan bermula sebagai tutor. Dahulu, semasa saya masih belajar dan ingin menceburi bidang perniagaan, saya selalu mendengar bahawa jika ingin ‘berbisnes’ perlu mempunyai modal wang yang banyak. Saya tidak nafikan perkara tersebut, tetapi sebenarnya kita boleh bermula dengan apa yang ada di tangan dan yang menariknya;

Kita hanya perlu bermula dengan modal yang paling besar yang Allah telah kurniakan pada kita iaitu akal pemikiran yang menaikkan darjat seseorang individu.

Jadi, usah fikirkan tentang modal yang tinggi, dengan berbekalkan ilmu yang ada, anda sebenarnya telah memulakan langkah pertama sebagai ‘self-employed’. Mulakan dengan memberi perkhidmatan kerana margin keuntungan adalah sangat tinggi berbanding menjual produk. Selepas mengumpul keuntungan untuk dijadikan modal, anda boleh meneruskan ke peringkat seterusnya sebagai ‘tuition business owner’ dan ‘investor’.

Jika anda seorang tutor sepenuh masa, maka anda akan mendapati pelajar anda ramai, jadi proses ini dapat membantu anda memeriksa semula jadual serta mengganti semula kelas yang perlu digantikan dan dapat menyusun semula jadual untuk klien yang seterusnya.

Anda juga perlu bijak membahagikan masa dengan aktiviti lain seperti bersama keluarga, beriadah, belajar, bekerja dan sebagainya. Namun, berdasarkan pengalaman saya, apabila menjadi tutor sepenuh masa, masa kita banyak terluang dan kita boleh melakukan kerja sampingan lain yang berfaedah seperti membaca buku, menulis, belajar kemahiran baru seperti pemasaran internet, mempunyai bisnes lain dan sebagainya.

Sebenarnya kerjaya tutor ini juga merupakan satu batu loncatan untuk kita berjaya dalam bisnes lain. Jadi, anda tidak perlu takut atau risau untuk memulakan bisnes dengan mengajar tuisyen kerana risiko yang ada sangat minima.

Jika anda ingin membuat bisnes Tuisyen yang lebih profesional dan sistematik boleh layari: Khas Untuk Usahawan Tuisyen Yang Ingin Kembangkan Bisnes Tuisyen Anda

Total
0
Shares
Related Posts