Melayari Kehidupan Laksana Sebuah ‘Masterpiece’

Aku ingin hidup secerah pelangi
Yang menyinar di taman hatiku
Aku ingin seriang kicau berburung
Yang terdengar di jendela kehidupan

Puitis sungguh pabila seorang seniman itu berkarya. Bagaikan dunia dan seluruh isinya difahami dan lantas diabadikan buat renungan insan-insan semesta bima sakti. Ibarat kata-kata Saidina Umar Al-Khattab’ “ajarilah anak2 kalian sastera, nescaya ia akan menjadi seorang yang pemberani.”

Lihat pula bagaimana Sheikh Sayyid Qutb dalam menulis Tafsir Fi Zilalil Qur’an, maqam bahasanya yang tinggi membuatkan sesiapa yang membacanya termenung seketika dan kemudian tersedar dari lena yang panjang.

Mendalam sungguh maksud kata-kata khalifah Islam tersebut sandainya dihalusi dari segenap aspek dan ruang lingkup. Cumanya pabila tiba saat untuk merealisasikannya, ia tidak semudah bicara.

Terkadang jua pantas sahaja kita mahukan hidup ini dilayari dengan kehendak kita. Bagaikan sebuah pementasan teater. Lagaknya kita sebagai seorang pengarah. Mengarahkan para pelakon berfantasi dengan cara kita, idea kita kerana pastinya kita mahukan karya yang terbaik untuk disajikan pada para hadirin.

Namun, kita sering terlupa kehidupan ini jua analoginya ibarat teater tadi. Pastinya ada seorang pengarah yang akan memastikan perjalanan sebuah teater itu berjalan dengan penuh bergaya, puitis bahasanya, cantik melodinya, bernas selokanya. Tidak lupa skrip yang diolah dengan penuh gemilang dan terbilang. Tetapi, apabila para pelakonnya tidak mengikut skrip tadi, maka hancurlah pementasan teater tadi. Lantas rosaklah persembahan tersebut dan akan kecewalah para hadirin yang menanti sebuah karya agung hasil gilapan Pengarah Agung tersebut.

Seringkali jua kita mendambakan sebuah kehidupan milik kita itu diabadikan sebagai sebuah ‘Mahakarya Masterpiece’ lagaknya. Berteorikan indah sang pelangi atau secerah sang mentari atau segemerlapan bulan purnama tetapi lupakah kita bahawa pelangi akan hilang selepas hujan, mentari kan pudar cahayanya pabila senja melabuhkan tirainya. Manakala bulan hilang serinya pabila subuh menampakkan wajahnya?

masterpiece-theatre

Ketahuilah tidak semua yang kita impikan dalam hidup ini dapat direalisasikan sebagai sebuah karya abadi yang sempurna. Terkadang perkara yang baik buat kita sebenarnya (seperti arahan Pengarah agung Tadi) adalah perkara yang kita tidak sukai. Tetapi ketahuilah ia adalah yang terbaik buat kita.

Terkadang jua perkara yang dibenci dalam hidup ini adalah yang terbaik buat kita. Masakan kita dapat meramal apa yang terjadi pada masa hadapan. Pastinya setiap ketentuan itu terkandung mutiara hikmah disebaliknya.

“…..boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. ” (Al-Baqarah 2:216)

Janganlah mudah melatah apabila disajikan dengan ujian duniawi kerna ia pasti selayaknya dengan kemampuan kita dan kerana ia pasti akn mematangkan kita sebagai seorang musafir yang bekelana di bumi Allah yang fana ini demi untuk mencari setitis redhaNya. hHargailah kehidupan ini selagi ada kudrat dirimu kerana takut-takut apabila ia tiada lagi kita akan menangisinya kerana ia bukan sebuah MASTERPIECE TERAGUNG kita.

“Orang yang hanya memikirkan diri sendiri, akan hidup sebagai orang kerdil dan mati sebagai orang kerdil. Tetapi orang yang mahu memikirkan orang lain, ia akan menjadi orang besar dan mati sebagai orang besar”. ~Sayyid Qutb~

Bahtera berlainan. Namun yang pasti destinasi kita sama. moga kita dipertemukan disana insyaallah.

Total
0
Shares
Related Posts