Alhamdulillah bersyukur Ramadan tiba lagi. Serta masih diberi nafas untuk bertemu Ramadan kali ini di perantauan.
Jadi, terfikir nak bagi apa kat jiran kali ini. Nama dia Fiona (bukan Fiona 4U2C), dia dan famili dia memang baik dengan kami semenjak dari awal lagi tinggal di UK.
Kadang-kadang memang kami hadiahkan cenderahati kalau pergi mana-mana dan dia pun akan balas juga dengan bagi sesuatu yang ‘special’ pada kami.
Jadi kali ni bila nak bagi makanan yang masak sendiri risau tak sedap pula 😉
Jadi kami buat keputusan nak bagi kurma Palestin Medjoule kat dia. Kurma Palestin ni memang ditanam di Palestin serta hasil jualan untuk infaq dan disumbangkan kepada Tabung Palestin melalui Israa’ Institution di UK.
Semasa bagi pada dia, isteri saya bagitahu nak bagi kurma ni sempena Ramadan. Fiona happy sangat sambil banyak kali ucap terima kasih sambil peluk-peluk isteri saya.
Dia cakap dia tahu serba sedikit tentang Ramadan dan puasa. Katanya lagi, dia pun ada saudara yang selalu bagi homeless makan dan turut berpuasa sebagai tanda respect Muslim dan menghayati kesusahan orang yang tidak mampu.
Memang seakan-akan bertepatan dengan konsep puasa tu sendiri.
Fiona juga beritahu yang dia turut respect Muslim berpuasa. Dan dia minta kalau nak sambut Eid Fitri nanti ajak dia sekali. Kami jawab boleh je 🙂
Alhamdulillah..semoga Allah memberikan taufik dan hidayahnya kepada kita semua.
…DIA…
Hadir kembali di halaman jiwa ini
Mengubat rindu yg kian lama terpendam di lubuk syahdu
Andainya esok bukan milikku
Biarlah hari ini aku bersandar di ribamu
Buat pengubat derita dosa-dosa semalam
Kerana aku tahu ya el-mubarak
Kau dirindui oleh sekelian alam
Seandainya alam ini turut berkata-kata
Pastilah pujian meniti ditiap-tiap lisan mereka
Kerana kami di sini masih ketandusan sebuah pengharapan dan keampunan
Aku akan setia menantimu di sini
Moga ia bakal menjadi sebuah bekalan terbaik sepanjang pelayaran
Meniti hakikat lautan sebuah kehidupan
Salam ramadhan penuh kesucian
“Barangsiapa berpuasa Ramadhan atas dasar iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.”
(HR. Bukhari no. 38 dan Muslim no. 760).
Salam Ramadan dari Birmingham