Untuk bersaing dengan negara maju dunia, kita perlu menyediakan pendidikan berkualiti dan mantap yang mampu menghasilkan murid bertaraf dunia dan mempunyai pemikiran kritikal abad ke-21. Kurikulum pendidikan disemak semula dari semasa ke semasa untuk membangunkan kemahiran abad ke-21 yang dapat menggalakkan perkembangan sahsiah murid yang holistik dan seimbang.
Hasrat ini direalisasikan dalam Gelombang 2 PPPM (2016- 2020), iaitu melalui Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan penyemakan semula Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Selain itu, pendidikan abad ke-21 ini turut memberikan penekanan kepada pembangunan murid secara holistik yang menekankan pembangunan intelek, rohani, emosi dan fizikal, seiring dengan pembinaan identiti nasional yang kukuh dan sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Pihak Kementerian Pendidikan telah mengenal pasti kemahiran abad ke-21 yang mampu melahirkan murid yang seimbang, berdaya tahan, bersemangat jitu, berprinsip, bermaklumat dan patriotik, juga mempunyai kemahiran berfikir, berkomunikasi dan bekerja secara berpasukan seperti yang dihasratkan oleh kementerian dalam melahirkan modal insan cemerlang dan berketerampilan.
Natijahnya, diharapkan modal insan negara pada era akan datang memiliki keupayaan berdaya saing pada peringkat antarabangsa dan diiktiraf pengetahuan, kemahiran dan nilai etika mereka dalam kelas tersendiri.
Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia 2016
CMN STEM Malaysia