Bagaimana Ingin Mendaftar Syarikat Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT)?

pendaftaran PLT enterprise, sdn bhd

Kebanyakan daripada usahawan-usahawan baru akan mendaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara Enterprise. Menjalankan aktiviti perniagaan secara Enterprise banyak risikonya. Pemilik dan perniagaan adalah entiti yang sama malah tidak ada suatu undang–undang yang melindungi perniagaan enterprise dan pemiliknya. Sehinggakan jika ditakdirkan ajal menemui pemiliknya, perniagaan enterprise boleh terkubur sama.

Bersyarikat dengan Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) adalah pilihan yang tepat untuk memulakan suatu perniagaan. Syarikat PLT dan pemilik dilindungi di bawah akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012. Ia mempunyai sedikit ciri–ciri Sdn. Bhd. di mana pemilik dan syarikat adalah entiti yang berbeza. Sekiranya berlaku sesuatu kepada syarikat, pemilik masih dilindungi dan begitulah sebaliknya.

Persamaan lain PLT dan Sdn. Bhd. adalah wujudnya perjanjian kerjasama yang dinyatakan dengan jelas maklumat syarikat, maklumat rakan kongsi, sumbangan modal, agihan keuntungan, agihan tugasan dan lain–lain. Dengan adanya perjanjian kerjasama, semua rakan kongsi terikat dibawah perjanjian tersebut dan ia juga boleh dipindah milik dan diwarisi.

Walaupun mempunyai ciri–ciri Sdn. Bhd., uniknya PLT ini pengurusannya lebih mudah sama seperti Enterprise iaitu tidak perlu melakukan audit setiap tahun. Cukup sekadar menghantar laporan kewangan tanpa audit kepada SSM. Lebih memudahkan kebanyakkan urusan PLT boleh dibuat sendiri secara atas talian. Dari segi kos pendaftaran pula, pendaftaran PLT sedikit tinggi berbanding Enterprise iaitu sekitar RM 500 lebih tetapi jauh lebih murah berbanding Sdn. Bhd. yang hampir mencecah RM2500 lebih.

Di sini kami kongsikan cara – cara mendaftar Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT):

1. Lantik seorang pegawai pematuhan (compliance officer). Layari laman web www.ssm.com.my dan klik myLLP. (Hanya rakan kongsi atau setiausaha syarikat sahaja yang boleh memohon).

2. Terima email pendaftaran pegawai pematuhan daripada SSM. Pergi ke SSM KL Sentral kemukakan kad pengenalan untuk mengaktifkan kata laluan myLLP.

3. Buat carian nama syarikat yang ingin didaftar, jika nama syarikat dibenarkan, bayar sebanyak RM30.

4. Lengkapkan maklumat syarikat, butir diri rakan kongsi dan pilih maksimum 3 bidang bisnes syarikat. Buat pembayaran sebanyak RM500.

5. Terima email pengesahan pendaftaran berserta nombor pendaftaran syarikat PLT. Sijil boleh diambil di SSM KL Sentral.

Semoga perkongsian ini akan membawa manfaat kepada anda sebagai usahawan-usahawan berjaya 🙂

pendaftaran PLT enterprise, sdn bhd

Puan Nurul Aini

Chief Finance Officer (CFO)

CMN Global Consultant Sdn. Bhd.

Total
0
Shares
Related Posts