Nikmat Tadabbur Al-Quran yang Mendorong ke Syurga

Kita pasti pernah mendengar kisah bagaimana seorang yang bernama Umar yang merupakan ‘otai’ di zaman Jahiliyahnya yang dalam perjalanan ingin membunuh Rasulullah s.a.w. Ketika itu sampai ditelinganya bahawa adiknya, Fatimah serta suaminya sudah memeluk Islam. Amarahnya yang meluap-luap ketika itu tidak dapat dibendung lagi untuk ‘membelasah’ adik lantas beliau berkejar ke rumah adiknya itu. Pantang nenek moyangnya, ahli keluarganya memeluk agama Islam. Bahkan beliau di antara orang yang paling keras menetang Islam di waktu itu.

Justeru sampai di rumah adiknya, Umar mencuri-curi mendengar suara dari dalam rumah itu. Lantas apa yang didengarinya adalah suara sayup-sayup yang tidak pernah didengarinya sepanjang hidupnya di Mekah. Hatinya berdebar-debar. Umar lantas mengetuk pintu rumah adiknya Fatimah dan suaminya Said bin Zaid. Mendengar ketukan yang deras serta suara Umar yang menakutkan itu membuatkan mereka berasa risau kerana mereka cukup mengenali siapa sebenarnya Umar.

Apabila pintu sudah dibuka, Umar lantas menyerang mereka dengan soalan bertubi-tubi. Hampir sahaja Said bin Zaid dipukul apabila pukulan tersebut mengenai adiknya sendiri. Umar yang merasa bersalah lantas meminta diserahkan mushaf tersebut. Selepas membersihkan diri, Umar membaca surah Thaha dan berkata “Alangkah indahnya ayat ini” dan pada waktu itu juga Umar bersedia bertemu Rasulullah s.a.w dan lantas memeluk Islam. Akhirnya beliau dilantik menjadi Khalifah yang ketiga selepas Saidina Abu Bakar As-Siddiq.

tadabbur al-quran

Itulah kehebatan serta kenikmatan sebenar Al-Quran bila ditadabbur (renung, perhati, hayati maksud). Ia mampu menundukkan hati yang keras. Namun, kenikmatan tadabbur Al-Quran semakin hilang apabila Al-Quran hanya dibaca, dilagukan dan dihafaz semata-mata tanpa ditadabbur maknanya. Allah berfirman dalam ayatnya:

“Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Quran ataukah hati mereka terkunci?” (Muhammad:24)

Kerana dengan penghayatan dan pengkajian Al-Quran yang akan menaikkan darjat orang Islam di muka bumi ini. Dalam Kuliah Tafsir ‘Fenomena Umar’ oleh Ustaz Mohammad Asraff Ayob Al-Hafiz (Pengasas Kaedah Jibril) di Coaching Zone, beberapa intipati yang dapat diperolehi ialah:

– Kisah dalam sesuatu surah dalam Al-Quran sentiasa berubah-ubah. Itulah menjadi keunikan Al-Quran berbanding kitab mahupun buku-buku lain. Hikmah dari segi psikologinya agar manusia tidak berasa bosan apabila membacanya. Pernahkah kita merasa bosan membaca Al-Quran walaupun tidak memahaminya?

– Berinteraksilah dengan Al-Quran sehingga kita merasa berdosa jika tidak mendapat apa-apa panduan, hikmah daripada Al-Quran

– Ada orang yang meneliti Al-Quran, namun sekadar mendapat ‘ikan-ikan kecil’. Ada pula yang membaca dan bertadabbur Al-Quran sehingga mendapat ‘mutiara-mutiara’ yang terpendam di dasar Al-Quran seperti ulama-ulama silam.

Teknik Tadabbur Al-Quran (1)

– Baca terjemahan Al-Quran atau bersama tafsir. Terdapat pelbagai jenis tafsir seperti Tafsir Munir, Tafsir Hamka, Tafsir FiZilalil Quran, Tafsir Qurtubi dan lain-lain)
– Perhatikan dan renung terjemahan ayat tersebut. Boleh juga gunakan tafsir untuk memahami ayat tersebut dengan lebih mendalam.
– Lihat samada ayat tersebut tergolong dalam kategori:

1. Pengenalan kepada Allah
2. Pengenalan kepada jalan yang lurus/gaya hidup
3. Pengenalan kepada Hari Akhirat

Kaitkan ayat tersebut dengan ciri-ciri di atas serta kaitkan dengan diri sendiri. Seakan-akan Allah menurunkan ayat tersebut untuk diri kita. Muhasabah diri dengan ‘ayat-ayat cinta’ yang teragung itu.

– Jika masih tidak memahami atau perlukan bimbingan, tanya pada orang berilmu/ustaz/ulama.

tadabbur al-quran

Teknik Tadabbur Al-Quran (2)

– Mengeluarkan soalan yang terlintas dalam fikiran. Contoh daripada Surah Thaha:9-23 iaitu tentang Kisah Nabi Musa bertemu Allah.

Teknik tadabbur al-quran

  • Mengapa Allah menceritakan tentang ibadat solat dan kiamat kepada Nabi Musa?
  • Mengapa ahli sihir yang melihat tongkat Nabi Musa menjadi ular menjadi beriman?

dan banyak lagi..

Objektif: Akal fikiran manusia sentiasa dipenuhi soalan-soalan, apatah lagi perkara-perkara yang tidak pernah dilihat sendiri oleh mereka. Justeru, untuk mendalami ‘mutiara-mutiara’ AlQuran dan seterusnya mendatangkan kemanisan yang mendalam, kita seharusnya merujuk tafsir dan ulama/orang berilmu bagi mengetahui jawapan terhadap soalan yang berada dibenak itu tadi.

Apabila kita berinteraksi dan tadabbur dengan Al-Quran, akan wujud kenikmatan dalam membaca ‘surat cinta’ dariNya. Barulah ‘ruh’ Al-Quran sentiasa dihati dan menjadi panduan untuk umat Islam berjaya. Pastinya ia menjadi sepertimana sabda Rasulullah s.a.w

Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa Baginda bersabda: “Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah,” (s.a.w.)

Jadi dengan tadabbur Al-Quran yang betul, berguru dengan orang berilmu/ulama’, dan mengamalkannya sebagai panduan dalam kehidupan seharian pasti menjadikan sesorang itu manusia yang bermanfaat sehingga melorongkan ke arah jalan menuju syurga yang kekal abadi. Di samping itu, mempelajari ilmu Al-Quran serta pengkajian ayat-ayatnya yang saintifik, akan menjadikan seseorang manusia itu sempurna dunia & akhirat 🙂

Tadabbur Al-Quran, Tafsir Al-Quran, Ustaz Asraff, Kaedah Jibril, PLF
Peserta Kuliah ‘Fenomena Umar’ 2  (Kredit foto: Tuan Ridzuan -CoachRidz)
PLF Family tadabbur al-quran
Peserta Kuliah Fenomena Umar 3 (Kredit foto: Tuan Rizal Hassan)

Bacaan lain: 11 Kebaikan Belajar Al-Quran www.mengajialquran.com

About Mohd Noor

Penulis dan Pemilik Blog coachmohdnoor.com. Pengasas CMN Education Group yang menguruskan cawangan-cawangan tuisyen, Online Tuition, Quranic Home Based & Digital Learning di seluruh Malaysia. Penulis 3 buah buku dan lebih 4 buah ebook. Mendapat Silver Award dalam Teachers' Innovation Carnival (T-NOVATE 2018) di UIA serta Eduinnovation UKM 2018 melalui Modul Funtastic Sains, Matematik & Fizik dengan konsep STEM (Science Technology Engineering Maths) & Project-based Learning. Merupakan Penganjur kepada Bengkel 'Beyond Expectation Tutor' & 'Simposium Tutor Profesional Malaysia' yang mengumpulkan Tutor, Pendidik dan Usahawan Pendidikan dari seluruh Malaysia. Bersedia dihubungi jika memerlukan bantuan dalam pengurusan tuisyen dan bisnes. Yakin Sebelum Berjaya. #MalaysiaTutorCoach

Check Also

Mengapa Ibu Bapa Menghantar Anak Mengikuti Tuisyen?

Dalam satu survey yang dijalankan oleh pihak Astro Awani, kenapa ibu bapa menghantar anak mereka ...