Benarkah Kita Sudah Merdeka?

Apakah maksud merdeka?

Merdeka sinonim dengan istilah bebas atau dengan erti kata lain adalah pembebasan dari penjajahan luar.

Apapun pengertian merdeka dari persektif pelbagai sudut, kita harus menghormatinya dan kebanyakannya akan berbicara dari sudut penjajahan fizikal.

merdeka-1957

Persoalannya kini, adakah kita benar-benar sudah merdeka dari penjajahan pemikiran (intelektual), emosi & spiritual?

Ketika dalam peperangan Qadisiyah, ketika mana Rubi’ bin Amir disoal oleh musuh iaitu Rustam tentang tujuan orang Islam datang dan bersungguh menyebarkan agama Islam, Rubi’ bin Amir menjawab;

“Kami telah diutuskan untuk mengeluarkan segala sesuatu, daripada penyembahan hamba kepada hamba kepada penyembahan mutlak kepada Allah yang satu, daripada kekejaman agama-agama terdahulu kepada keadilan islam, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”

Inilah perspektif dan belief system yang dibawa oleh Islam berkaitan kemerdekaan yang sebenar.

Merdeka dari kacamata Islam merupakan pembebasan dari sesama manusia kepada pengabdian pada Rab nan satu. Pembebasan dari penjajahan pemikiran & spiritual dan bukan fizikal semata-mata.

Bagaimana pula ketika Bilal Bin Rabah yang dijajah dan disiksa akan jasad oleh tuannya, namun hatinya tetap merdeka dengan kehadiran Islam yang baru dikenali disudut hatinya. Oleh itu, tuannya yang memiliki dirinya sebagai hamba sahaya dan boleh berbuat apa sahaja terhadapnya tetap tidak dapat menghapuskan keimanan beliau kepada Tuhan Yang Ahad.

Maka biarpun kita telah bebas dari segi fizikal selama 60 tahun, belum tentu kita sudah bebas dari segi pemikiran.

Biarpun kita bergelar seorang Muslim, sudahkah kita memiliki sifat dan akhlak seorang Muslim yang sebenar?

Adakah peribadi kita mencerminkan diri kita sebagai seorang Muslim kepada orang di sekeliling kita termasuk non-Muslim? Atau membuatkan mereka lebih jauh dari kita?

merdeka ustaz azhar idrus

Begitu juga biarpun luaran kita telah bebas dari sistem penjajahan, namun realitinya mental kita masih dijajah dengan Ghazwu Fikr (serangan pemikiran) yang tidak pernah berhenti dari melancarkan peluru-pelurunya ke pemikiran kita.

Kemerdekaan yang kita perolehi bukan percuma dan ia datang bersama pakej.

Budaya-budaya bukan Islam yang negatif masih lagi bergelumang dalam dalam diri kita. Betapa sedih melihat bangsa kita masih berada di ranking pertama gejala penagihan dadah, mat rempit, kes-kes juvana.

Manakala dari segi akademik dan ekonomi bangsa kita masih ketinggalan berbanding bangsa lain.

Sedangkan kita masih kian larut menangisi peserta program hiburan realiti tv yang tersingkir tapi kita tidak dapat berbuat sesuatu walaupun sekadar doa & menyumbangkan tenaga & masa melihat saudara seislam dihentam di Palestin, Syria, Rohingya dan di seluruh dunia.

Siapakah yang harus dipersalahkan?

Maka apakah yang perlu kita banggakan dengan kemerdekaan ini seandainya jiwa kita masih belum merdeka?

Adakah cukup dengan berteriak di ambang kemerdekaan, melaung-laung di konsert, berpeleseran kesana-kemari atau mengibarkan bendera semata-mata?

Dengan itu selayaknya kita bermuhasabah diri dan bersyukur dengan nikmat kemerdekaan yang dikurniakan Allah ini sambil menjadi hamba Allah yang dekat padaNya.

Biarpun kita meyakini bahawa Islam adalah agama terbaik namun adakah kita berusaha menjadi seorang Muslim yang terbaik dan menyebarkan kebaikan itu?

Kelak, kita tidak akan dipersoalkan akan hasilnya tetapi usaha yang pernah kita lakukan kearahnya.

Tanggungjawab ini merupakan tugasan kita semua yang beridentitikan Muslim. Kerana mungkin bukan pada zaman kita, namun yang pasti mungkin anak, cucu-cicit kita yang bakal mengecapinya.

Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah kami pada agama dan jalan ini serta merdekakanlah jiwa kami. Ameen

 

Total
0
Shares
Related Posts