Pendidikan Malaysia Akan Beralih Kepada Pembelajaran Sistem & STEM

KUALA LUMPUR – Pendidikan di negara ini perlu beralih daripada ‘pembelajaran sekolah’ kepada ‘pembelajaran sistem’ bagi membolehkan pelajar mendapat akses kepada pembelajaran berkualiti.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, langkah ini bagi memastikan minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dipertingkat bagi mencapai sasaran Dasar Sains Teknikal dan Sastera pada nisbah 60:40.

Beliau berkata, pada masa ini, hanya 37 peratus pelajar di seluruh negara memilih aliran Sains.

“Sekarang peranan guru adalah mengajar di bilik darjah dan memastikan ilmu disampaikan kepada pelajar namun apa yang lebih berkesan iaitu pelajar belajar sendiri di sekolah dan peranan guru hanya merupakan ‘pemudah cara’ kepada mereka untuk memastikan proses pembelajaran berjalan lancar.

“Selain itu, ibu bapa juga boleh bersama-sama dengan anak mereka melibatkan diri dalam proses pembelajaran STEM dengan membawa mereka mengunjungi pameran serta karnival sains yang dijalankan oleh pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Kejuruteraan dan Sains Kuala Lumpur (KLSEF) 2014 di Pusat Sains Negara hari ini.

Idris berkata, dalam usaha mempertingkat bilangan pelajar aliran Sains di negara ini, kerjasama antara ibu bapa, komuniti dan sektor swasta diperlukan dalam memupuk minat generasi muda itu terhadap pembelajaran STEM sama ada di sekolah, rumah ataupun di mana-mana sahaja.

Beliau berkata, peningkatan bilangan pelajar aliran Sains amat diperlukan kerana pendidikan STEM merupakan tunggak bagi negara yang ekonominya berasaskan pengetahuan dan inovasi.

“Jika kita lihat negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman, Korea dan Jepun, kebanyakan penduduknya mempunyai pengetahuan asas dalam STEM kerana telah didedahkan untuk mempelajari Sains sejak kecil bagi memupuk minat mereka,” katanya.

Turut hadir Penasihat Sains kepada Perdana Menteri Profesor Emeritus Datuk Seri Zakri Abdul Hamid, Presiden Akademi Kejuruteraan dan Teknologi Asean (AAET) Datuk Hong Lee Pee, Presiden Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) Profesor Datuk Chuah Hean Teik dan Pengarah Pusat Sains Negara Profesor Madya Dr Irmawati Ramli.

pendidikan-stem
Pameran anjuran bersama AAET, Utar, Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Institut Kejuruteraan (IEM) dan Pusat Sains Negara (NSC), yang bermula dari 25 April dan berakhir 27 April ini, terbuka kepada umum secara percuma di NSC, dan dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung terutama pelajar serta golongan pendidik. – Bernama

Sumber: Sinar Harian

Info lanjut berkaitan Projek Pembelajaran STEM di Malaysia DI SINI

About Mohd Noor

Penulis dan Pemilik Blog coachmohdnoor.com. Pengasas CMN Education Group yang menguruskan cawangan-cawangan tuisyen, Online Tuition, Quranic Home Based & Digital Learning di seluruh Malaysia. Penulis 3 buah buku dan lebih 4 buah ebook. Mendapat Silver Award dalam Teachers' Innovation Carnival (T-NOVATE 2018) di UIA serta Eduinnovation UKM 2018 melalui Modul Funtastic Sains, Matematik & Fizik dengan konsep STEM (Science Technology Engineering Maths). Merupakan Penganjur kepada Bengkel 'Beyond Expectation Tutor' & 'Simposium Tutor Profesional Malaysia' yang mengumpulkan Tutor, Pendidik dan Usahawan Pendidikan dari seluruh Malaysia. Bersedia dihubungi jika memerlukan bantuan dalam pengurusan tuisyen dan bisnes. Yakin Sebelum Berjaya. #MalaysiaTutorpreneurCoach

Check Also

Tutor Ini Ada Cara Menarik Untuk Aplikasi KBAT & Teknik ‘Problem Solving’

Dalam Pembelajaran Abad Ke-21 ini, para pendidik tercari-cari apakah teknik dan pendekatan yang sesuai untuk ...