Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(PPPM)

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(PPPM)

Latar belakang

Pada Oktober 2011, Kementerian Pendidikan Malaysia melancarkan kajian semula sistem pendidikan negara secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang baharu. Tujuan utama kajian semula ini dibuat dalam konteks standard pendidikan antarabangsa yang kian meningkat, peningkatan aspirasi negara dalam mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi keperluan abad ke-21, dan peningkatan harapan ibu bapa serta masyarakat terhadap dasar pendidikan negara.ObjektifPelan ini dibangunkan dengan tiga objektif khusus, iaitu:

1. Memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia dengan memberi tumpuan terhadap akses kepada pendidikan, meningkatkan standard (kualiti), merapatkan jurang pencapaian (ekuiti), mengukuhkan perpaduan dalam kalangan murid, serta mengoptimumkan kecekapan sistem.

2. Mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk setiap murid dan sistem pendidikan secara keseluruhan bagi tempoh 13 tahun akan datang.

3. Menggariskan transformasi sistem pendidikan yang komprehensif merangkumi perubahan penting dalam Kementerian bagi memenuhi permintaan baharu dan harapan tinggi masyarakat, serta mencetus dan menyokong transformasi perkhidmatan awam.

Aspirasi Sistem Pendidikan

1. Akses100% enrolmen merentas semua peringkat pendidikan daripada prasekolah hingga menengah atas menjelang 2020.

2. KualitiNegara dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa dan PISA dalam tempoh 15 tahun.

3. Ekuiti50% pengurangan dalam jurang pencapaian (bandar – luar bandar, sosioekonomi, gender) menjelang 2020.

4. PerpaduanSistem pendidikan yang menawarkan perkongsian pengalaman dan nilai kepada kanak-kanak dengan menghargai kepelbagaian

5. KecekapanSistem yang memaksimumkan keberhasilan murid mengikut peruntukan sedia ada.

Aspirasi terhadap Murid

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) adalah berasaskan aspirasi alsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah menyediakan pendidikan seimbang untuk setiap murid. Pelaksanaan pelan ini adalah merujuk kepada sistem pendidikan yang berprestasi tinggi bagi membina kemahiran khusus dan atribut kepada murid sebagai persediaan menghadapi cabaran pembangunan ekonomi dan globalisasi.PPPM ini telah menggariskan enam ciri-ciri utama yang menjadi asas aspirasi bagi setiap murid di negara ini.Setiap murid akan mempunyai … sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Aspirasi murid

PengetahuanKemahiran BerfikirKemahiran MemimpinKemahiran DwibahasaEtika dan KerohanianKerohanianIdentiti Nasional

 Pengetahuan

Di peringkat paling asas, setiap kanak- kanak perlu menguasai sepenuhnya kemahiran literasi dan numerasi. Selain itu, penting bagi setiap murid menguasai mata pelajaran teras seperti Matematik dan Sains. Murid juga perlu didedahkan kepada pengetahuan am yang menyeluruh tentang Malaysia, Asia, dan dunia dari aspek sejarah, manusia, dan geografi. Murid juga digalakkan mengembangkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang lain seperti seni, muzik, dan sukan.

 Kemahiran Berfikir

Setiap murid akan belajar cara memperoleh ilmu pengetahuan sepanjang kehidupan mereka (menerapkan perasaan ingin tahu dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat) untuk membolehkan mereka menghubungkan pelbagai disiplin ilmu dan mencipta ilmu yang baharu. Setiap murid perlu menguasai pelbagai kemahiran kognitif termasuk penaakulan dan pemikiran kritis, kreatif, serta inovatif. Bidang ini kurang diberi perhatian, menyebabkan murid kurang berupaya untuk mengaplikasi ilmu pengetahuan dan berfikir secara kritis di luar konteks akademik.

 Kemahiran Memimpin

Dalam dunia yang semakin saling berhubung kait, kebolehan untuk memimpin dan bekerja dengan orang lain secara berkesan adalah amat penting. Sistem pendidikan negara akan membantu setiap murid mencapai potensi sepenuhnya dengan mewujudkan peluang yang formal dan tidak formal untuk bekerja dalam pasukan dan mengamalkan ciri kepimpinan. Dalam konteks sistem pendidikan, kepimpinan merangkumi empat dimensi, iaitu keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi, dan kemahiran berkomunikasi dengan berkesan.

 Kemahiran Dwibahasa

Setiap kanak-kanak akan menguasai bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan serta bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa sekurang-kurangnya pada tahap minima. Dengan tahap penguasaan bahasa ini selepas menamatkan persekolahan, murid sepatutnya berupaya menggunakan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dalam persekitaran kerja. Di samping itu, Kementerian akan menggalakkan semua murid mempelajari bahasa lain sebagai bahasa tambahan.

 Etika dan Kerohanian

Sistem pendidikan akan memupuk etika dan kerohanian dalam diri setiap murid bagi mendepani cabaran yang akan ditempuhi dalam kehidupan dewasa, agar mereka boleh menyelesaikan konflik secara harmoni, bijak membuat pertimbangan, berpegang kepada prinsip ketika berada dalam situasi yang kritikal, serta berani melakukan sesuatu yang betul. Sistem pendidikan juga berhasrat untuk membentuk individu penyayang yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan negara.

  Identiti Nasional

Identiti nasional yang kukuh melalui penghayatan prinsip Rukun Negara, diperlukan untuk kejayaan dan masa depan Malaysia. Setiap murid akan berbangga dikenali sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama atau status sosioekonomi. Semangat patriotik perlu dipupuk dalam diri setiap murid dengan cara memahami sejarah negara, dan berkongsi aspirasi yang sama untuk masa depan negara. Demi mewujudkan identiti nasional yang sebenar, semangat keterangkuman yang teguh amat diperlukan. Identiti nasional akan dapat dicapai bukan hanya belajar memahami dan menerima kepelbagaian, tetapi juga menghayati kepelbagaian.Perbincangan Buat perbincangan dalam kumpulan mengenai langkah-langkah yang boleh dilaksanakan oleh guru di sekolah bagi memenuhi ciri-ciri utama aspirasi setiap murid.Sebelas Anjakan Utama Untuk Mentransformasi Sistem Pendidikan NegaraKementerian telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang dihasratkan oleh semua rakyat Malaysia. Setiap anjakan perlu memberi impak kepada sekurang-kurangnya satu daripada lima keberhasilan sistem, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan. Kualiti menjadi fokus utama merentasi semua anjakan kerana kualiti merupakan dimensi penting yang perlu diberikan perhatian segera. Sebahagian daripada anjakan ini merupakan perubahan strategi dan hala tuju pendidikan. Anjakan yang lain merupakan perubahan pelaksanaan dalam cara Kementerian dan sekolah melaksanakan dasar sedia ada. Sama ada perubahan bersifat strategi atau pelaksanaan, semuanya menggambarkan anjakan daripada amalan semasa. Sebelas anjakan tersebut adalah :

Anjakan 1: Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidika berkualiti bertaraf antarabangsa

.Anjakan 2: Memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dan digalakkan mempelajari bahasa tambahan.

Anjakan 3: Melahirkan rakyat yang menghayati nilai.

Anjakan 4: Mentransformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan.

Anjakan 5: Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.

Anjakan 6: Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan.

Anjakan 7: Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.

Anjakan 8: Mentransformasi kebolehandan keupayaan penyampaian Kementerian.

Anjakan 9: Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta secara meluas.

Anjakan 10:Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit

.Anjakan 11:Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung.

Layari Internet Dengan merujuk laman web http://www.moe.gov.my/v/pelan-pembangunan-pendidikan-malaysia-2013-2025 anda dikehendaki membuat nota peta minda mengenai anjakan utama transformasi sistem pendidikan negara.Urutan Anjakan TransformasiBerdasarkan keperluan membina kebolehan dan keupayaan sistem pendidikan negara, Kementerian telah menyusun transformasi yang akan dilaksanakan dalam tiga gelombang; gelombang satu, gelombang dua dan gelombang tiga.

Gelombang transformasi

Gelombang 1 (2013-2015)

Kementerian memberi penekanan kepada menambah baik sistem dengan mempercepatkan perubahan kaedah pelaksanaan program. Dalam tempoh pelaksanaan ini, tumpuan akan diberikan kepada kaedah peningkatan kualiti pengajaran dengan meningkatkan kemahiran guru sedia ada di dalam sistem, meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah dengan memperbaiki pendekatan pelantikan dan melatih pengetua/guru besar, dan meningkatkan kadar literasi (bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dan numerasi menerusi program pemulihan yang intensif). Kementerian juga akan mengukuhkan dan memberi pengupayaan kepada pegawai di peringkat negeri dan daerah untuk meningkatkan kualiti sokongan yang diberikan kepada kumpulan barisan hadapan ini bagi membantu semua sekolah. Menjelang akhir Gelombang 1, Kementerian akan memastikan semua guru, pengetua/guru besar dan sekolah mencapai tahap minimum standard kualiti yang dihasratkan. Antara inisiatif Kementerian dalam Gelombang 1 adalah:

 Meningkatkan standard pengajaran melalui bimbingan guru secara khusus terutamanya dalam mata pelajaran teras (Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains).

 Mereka bentuk semula soalan peperiksaan supaya lebih menjurus kepada soalan kemahiran berfikir aras tinggi.

 Mengukuhkan kualiti pendidikan STEM melalui pengukuhan kurikulum, pengujian dan latihan guru, dan penggunaan model pembelajaran pelbagai mod (blended learning). Melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Bahasa Malaysia SJK yang direka bentuk untuk murid yang bahasa ibundanya bukan bahasa Malaysia.

 Mengukuhkan penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris melalui pengujian dan latihan semula guru, memperluas LINUS, dan menyediakan sokongan pemulihan serta model pembelajaran pelbagai mod (blended learning).

 Melaksanakan 1BestariNet ke semua sekolah untuk mengintegrasi ICT dalam pembelajaran harian.

 Melaksana Program Transformasi Daerah dengan tumpuan kepada sekolah berprestasi rendah termasuk murid berkeperluan khusus untuk memacu prestasi sekolah.

 Merombak IPG dan latihan praperkhidmatan dan meningkatkan standard kemasukan bagi guru baharu.

 Mewujudkan pembimbing pengetua/guru besar yang berdedikasi untuk sekolah Band 5,6 & 7 dan mengukuhkan kriteria pemilihan untuk pemimpin sekolah bagi meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah.

 Mentransformasi Kementerian dengan meletakkan pemimpin terbaik untuk menerajui jawatan penting di JPN dan PPD bagi meningkatkan prestasi sistem penyampaian.

 Meningkatkan enrolmen prasekolah dan sekolah menengah melalui kempen galakan enrolmen, lebih pelibatan ibu bapa, dan program vokasional yang lebih baik. Mengukuhkan praktikum dalam program vokasional melalui peningkatan kerjasama dengan sektor swasta.

Gelombang 2 ( 2016-2020)

Dalam tempoh Gelombang 2, Kementerian akan melaksanakan perubahan struktur sistem pendidikan negara untuk mempercepatkan perjalanan perubahan (rancangan untuk semua inisiatif akan bermula semasa Gelombang 1). Perancangan ini melibatkan pergerakan kesemua 410,00 guru dan 10,000 pengetua/guru besar kepada pakej kerjaya baharu, penstrukturan semula Kementerian, JPN dan PPD untuk menjajarkan dengan peranan yang direncanakan menerusi Gelombang 1, dan memperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah yang disemak semula dalam usaha menangani kebimbangan mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk maju sesuai dengan perkembangan ekonomi dunia hari ini.

 Melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) semakan semula bagi meningkatkan standard kandungan dan pembelajaran setanding dengan standard antarabangsa.

 Menarik minat dan kesedaran masyarakat dalam STEM melalui kempen dan kerjasama.

 Merintis pilihan program untuk meningkatkan pendedahan kepada bahasa Inggeris, dan mengukuhkan penyediaan bahasa tambahan dalam usaha menambah baik penguasaan kemahiran bahasa secara menyeluruh.

 Mengukuhkan program untuk kumpulan berkeperluan khusus seperti kumpulan peribumi dan kumpulan minoriti lain, pintar cerdas, dan berkeperluan khas.

 Memacu inovasi ICT khususnya untuk pembelajaran jarak jauh dan pembelajaran terarah kendiri.

 Meningkatkan bimbingan dan sokongan kepada guru bagi penambahbaikan penyampaian pengetahuan, kemahiran, dan nilai merentasi semua aspek kurikulum dan kokurikulum.

 Meningkatkan kompetensi dan kemajuan berdasarkan prestasi serta memantapkan laluan kerjaya guru untuk mencergaskan semula profesion keguruan.

 Mengukuhkan bahagian utama Kementerian, menyusun semula peranan Kementerian, JPN dan PPD untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan pelaksanaan. Memperoleh akreditasi antarabangsa dan memantapkan kurikulum program matrikulasi sebagai persediaan murid ke universiti.

 Memperluas pilihan pendidikan vokasional melalui perjanjian pelaksanaan dengan pembekal pendidikan vokasional swasta.

Gelombang 3 (2021-2025)

Pada permulaan Gelombang 3, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menunjukkan prestasi melebihi standard minimum. Oleh itu, Kementerian akan memberikan tumpuan kepada meningkatkan keluwesan operasi untuk memupuk budaya kepimpinan rakan setugas bagi pembangunan kecemerlangan profesional.Kementerian juga akan menganjakkan kebanyakan sekolah kepada model pengurusan berasaskan sekolah dan membangunkan model kejayaan sekolah berdasarkan inovasi dalam pengajaran. Matlamat Kementerian adalah untuk membangunkan sistem pengekalan kemajuan kendiri yang mampu untuk mencetuskan inovasi dan meningkatkan pencapaian yang lebih tinggi.

 Meningkatkan inovasi dan pilihan bagi meningkatkan penguasaan kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris secara berterusan dan menyediakan lebih banyak pilihan untuk mempelajari bahasa tambahan.

 Melaksanakan program dan inovasi ICT bagi kumpulan berkeperluan khusus di seluruh negara untuk meningkatkan standard pembelajaran secara berterusan.

 Memupuk budaya kecemerlangan profesional keteladanan rakan setugas, iaitu guru dan pemimpin sekolah saling membimbing, berkongsi amalan terbaik, dan memastikan rakan setugas mempunyai kebertanggungjawaban memenuhi standard profesional.

 Mempertingkat pengurusan berasaskan sekolah dan autonomi dari segi pelaksanaan kurikulum dan pengurusan kewangan bagi kebanyakan sekolah yang layak, sekiranya tidak kepada semua sekolah.

 Memperkasa Kementerian dan menginstitusikan transformasi melalui pengukuhan kemajuan kerjaya pegawai Kementerian.

 Mengkaji semula penstrukturan sekolah untuk menentukan sekiranya wujud keperluan untuk mengoptimumkan laluan dan pilihan persekolahan.Memikir Cuba fikirkan, apakah impak pelaksanaan transformasi sistem pendidikan ini kepada :  Murid  Guru  Pemimpin sekolah  Ibu bapa

About Mohd Noor

Penulis dan Pemilik Blog coachmohdnoor.com. Pengasas CMN Education Group yang menguruskan cawangan-cawangan tuisyen, Online Tuition, Quranic Home Based & Digital Learning di seluruh Malaysia. Penulis 3 buah buku dan lebih 4 buah ebook. Mendapat Silver Award dalam Teachers' Innovation Carnival (T-NOVATE 2018) di UIA serta Eduinnovation UKM 2018 melalui Modul Funtastic Sains, Matematik & Fizik dengan konsep STEM (Science Technology Engineering Maths) & Project-based Learning. Merupakan Penganjur kepada Bengkel 'Beyond Expectation Tutor' & 'Simposium Tutor Profesional Malaysia' yang mengumpulkan Tutor, Pendidik dan Usahawan Pendidikan dari seluruh Malaysia. Bersedia dihubungi jika memerlukan bantuan dalam pengurusan tuisyen dan bisnes. Yakin Sebelum Berjaya. #MalaysiaTutorCoach

Check Also

Ingin Kenal Lebih Lanjut Speaker Simposium Tutor Profesional Malaysia #STPM2018?

Adakah anda seorang Tutor, Pendidik atau seorang Usahawan Pendidikan atau anda berminat menceburi bidang yang ...