Bilionair Berjimat? Biar Betul?

Suatu masa dahulu saya membayangkan bahawa seorang jutawan mahupun bilionair itu hidupnya mewah, gayanya hebat, pakaian sentiasa berjenama memikat. Tetapi jutawan sebenar bukan begitu sifatnya. Jika mereka terus menerus bersikap begitu, walaupun sebanyak mana harta mereka, pasti mereka akan jatuh muflis.

Kisah di atas, walaupun kaya, tidak bermakna kita  perlu mewah dalam segenap segi. Orang kaya sebenar hanya melaburkan wang dalam perkara yang memberikan manfaat yang optimum untuk diri sendiri dan orang lain. Apa yang dipanggil oleh Robert Kiyosaki sebagai ‘Aset’ dan bukan ‘Liabiliti’ dalam buku ‘Rich Dad Poor Dad’. Sebagai seorang Muslim, Rasulullah s.a.w sudah mengajar bahawa aset kita untuk akhirat nanti adalah D.I.S (doa anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan sedekah jariah).

Nasihat pakar, tidak kira berapa banyak pendapatan kita, apa yang lebih penting adalah berapa banyak kita SIMPAN dan berapa banyak yang kita gunakan untuk memberi MANFAAT kepada orang lain.

Ada yang berpendapat, buat apa jadi kaya? Ramai juga berpendapat apabila kita kaya, kita akan mudah lupa, sombong, kikir dan sebagainya.

Tetapi realiti yang berlaku adalah, tidak kira kita kaya, sederhana atau miskin, ia bukan penentu kepada tahap keimanan kita. Buktinya, ramai yang tidak kaya, tetapi tetap lupa pada Allah. Ramai juga yang sudah kaya juga lupa pada Allah dan orang di sekeliling mereka.

Namun, ramai juga orang miskin sentiasa ingat pada Allah, begitu juga ramai orang kaya sentiasa membantu mereka dalam kesusahan. Contohnya Syed Mokhtar Al-Bukhari, orang Melayu yang terkaya di Malaysia menubuhkan Yayasan Al-Bukhari yang bertujuan untuk membantu orang-orang susah dari segi pendidikan, institusi ilmu, institusi masjid dan banyak lagi.

Kisah bilionair diatas tidak begitu mengujakan saya. Apa yang lebih mengagumkan saya ialah kisah-kisah tokoh Islam yang LUAR BIASA ini.

Ramai para sahabat menginfakkan harta yang ada pada mereka dan ada di kalangan para sahabat yang fakir dan miskin ingin turut serta untuk melawan Rom, Rasulullah menjawab, “Aku tiada sesuatu yang boleh membawa kamu semua.” Maka mereka pun beredar dengan perasaan sedih dan berlinangan air mata.

 

“Dan tidak berdosa atas orang-orang yang apabila datang kepadamu, supaya diberikan kenderaan, lalu kamu berkata,  “Tiada padaku kenderaan yang hendak ku berikan kepada kamu.” lalu mereka kembali sedangkan mata mereka mengalirkan air mata yang bercucuran kerana sedih mereka tidak mempunyai sesuatu pun yang hendak mereka belanjakan untuk pergi berjihad ke jalan Allah.”             (At-Taubah:92)

 

Ketika zaman Rasulullah s.a.w, ketika panggilan Perang Tabuk menentang Rom, para sahabat diseru untuk menginfaqkan harta mereka ke jalan Allah.

Saidina Abu Bakar menginfakkan seluruh hartanya ke jalan Allah yang berkemungkinan berjumlah jutaan ringgit pada waktu tersebut. Apabila ditanyakan apakah yang ditinggalkan untuk keluarnya. Jawapan  Saidina Abu Bakar yang popular adalah, “Aku tinggalkan Allah dan Rasul buat keluargaku.” Saidina Umar Al-Khattab pula menyerahkan separuh daripada hartanya untuk peperangan tersebut. Manakala Saidina Uthman Affan pula menginfakkan beratus-ratus ekor unta dan kuda disamping wang seribu dinar (sekarang 1 dinar=RM700-RM800). Jika dijumlahkan infak Saidina Uthman sudah mencecah jutaan ringgit. Tambahan pula perkara ini berlaku 1400 tahun yang lalu.

Ramai-ramai lagi sahabat lain yang turut berinfak harta yang termampu bagi mereka walaupun dengan kurma, tenaga dan lain-lain. Keimanan mereka begitu teguh. Jadi tidak hairanlah mengapa mereka ini bergelar ahli syurga walaupun masih hidup lagi.

Kesimpulannya, harta bukan penentu samada ke syuga atau neraka. Harta adalah ‘alat’ sahaja yang boleh membawa kita kepada jalan kebaikan atau sebaliknya. Hidup ini bukan sekadar untuk ‘melepaskan diri’ sendiri, tetapi juga untuk membantu orang lain.

Jadi, hidup ini suatu PILIHAN. Buatlah pilihan yang terbaik untuk kejayaan dunia dan akhirat kita.

 

About Mohd Noor

Penulis dan Pemilik Blog coachmohdnoor.com. Pengasas CMN Education Group yang menguruskan lebih cawangan-cawangan tuisyen, Online Tuition & Digital Learning di seluruh Malaysia. Penulis 3 buah buku dan lebih 4 buah ebook. Bersedia dihubungi jika memerlukan bantuan dalam pengurusan tuisyen dan bisnes. Yakin Sebelum Berjaya. #MalaysiaTutorpreneurCoach

Check Also

10 Tip Ulung Bagi Memulakan Langkah Sebagai Tutor Tuisyen

Anda tidak semestinya mempunyai diploma mahupun ijazah dalam bidang pendidikan untuk mengajar tuisyen. Jadi bagaimana ...