Bagaimana Memulakan Langkah Sebagai Tutor Tuisyen di Malaysia?

Di sekolah, terdapat ramai pelajar yang mungkin kurang memahami apa yang diajarkan kepada mereka. Sesetengah pelajar juga mempunyai sifat malu untuk bertanya kepada guru apabila terdapat kekeliruan dalam pembelajaran di sekolah. Persoalannya, adakah perlu untuk diwujudkan pendidikan tambahan untuk mereka selepas waktu sekolah?

 

Jawapannya, ia adalah bergantung kepada pelajar itu sendiri. Ada pelajar yang memerlukannya untuk memastikan mereka benar-benar menguasai setiap topik dalam setiap matapelajaran. Oleh sebab itu, pihak sekolah mengambil inisiatif dengan menambah waktu proses pengajaran dan pembelajaran iaitu mengadakan kelas tambahan. Tidak cukup dengan itu, percambahan pusat tuisyen dan pembelajaran di rumah atau dikenali juga dengan ‘home tuition’ dapat membantu pelajar  tersebut. Permintaan yang semakin meningkat dari sehari ke sehari membuktikan bahawa pelajar serta ibubapa mengetahui manfaat dan kualiti pembelajaran yang bakal mereka perolehi.

 

6 kategori kelas tambahan luar sekolah atau dikenali sebagai tuisyen:

  1. Proses pembelajaran di rumah pelajar
  2. Proses pembelajaran di rumah guru
  3. Proses pembelajaran di tempat awam
  4. Proses pembelajaran di pusat tuisyen
  5. Proses pembelajaran di sekolah/asrama
  6. Proses pembelajaran secara online

 

Statistik dari Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukkan bahawa bilangan pelajar sekolah bertambah dari setahun ke setahun. Ini merupakan berita baik kepada anda! Semakin bertambah bilangan pelajar, semakin bisnes tuisyen ini amat diperlukan.

 

Jumlah bilangan pelajar sekolah rendah dan menengah melebihi 5 juta orang! Ini adalah lubuk-lubuk emas bagi industri tuisyen untuk berkembang dan ianya perlu dikongsi bersama.

 

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

Persoalan yang selalu ditanya kepada saya. Tuisyen ini masih relevankah dengan kurangnya peperiksaan dan fokus pada KBAT? Setelah membuat kajian dengan tutor-tutor guru-guru sekolah, saya menyimpulkan bahawa:

  • Secara dasarnya, polisi itu bagus kerana penekanan bukan terhadap keputusan akademik semata-mata tetapi penilaian dibuat merangkumi pelbagai aspek.
  • Bebanan tugas guru-guru sekolah bertambah (selain dari tugas pengkeranian dan lain-lain) kerana mereka perlu memastikan setiap anak murid mereka diuji dengan tahap atau topik tertentu.
  • Ibu bapa perlu sentiasa mengambil tahu dan mengawasi perkembangan akademik anak mereka kerana sistem peperiksaan secara nasional akan dikurangkan sedikit demi sedikit. Ibu bapa harus tahu apa yang perlu mereka lakukan untuk membantu anak mereka berjaya.
  • Walaupun polisi kerap berubah dan mungkin akan berubah lagi, tidak dapat dinafikan bahawa ada di kalangan pelajar yang lemah terhadap matapelajaran tertentu dan perlu dibantu secara personal.

Kesimpulannya, tuisyen tetap relevan jika ibu bapa menginginkan anak mereka cemerlang dan tidak ketinggalan dalam akademik.

 

Pelaburan Akhirat Yang Infiniti

Walaupun anda bukan seorang guru, pensyarah atau pendidik tetapi anda pasti mampu menjadi seorang Cikgu Tuisyen yang berjaya dengan teknik yang betul serta menjana pelaburan pahala yang infiniti berdasarkan hadis ini. Teruskan pembacaan anda untuk mengorek rahsia tersebut.

Rasulullah bersabda

“Apabila mati anak Adam itu, terputus segala amalan kecuali tiga perkara; doa anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat”

 

 

Jadi, bayangkan jika anda menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada orang lain, setiap kali mereka mengamalkan dan menyampaikan ilmu tersebut, pahala anda pasti akan berterusan!

Tahukah anda bahawa anda mempunyai kemahiran menakjubkan yang berharga yang amat diperlukan oleh ramai orang di luar sana?

Manusia telah dikurniakan bakat untuk mengajar sejak kecik lagi. Kita cenderung untuk mengajar rakan kita walaupun kita sendiri bukanlah pakar atau berkemahiran dalam bidang tersebut. Begitu juga ada sesetengah orang boleh mengajar rakan, adik, saudara dan jiran. Jadi, mengajar orang lain juga bukan merupakan suatu isu. Dengan peningkatan bilangan sekolah, kebanyakan guru mempunyai tanggungjawab tambahan. Apabila bilangan pelajar melangkaui 30 hingga 40 orang dalam sebuah kelas pada satu-satu masa, sukar bagi guru untuk memberi fokus dan tumpuan kepada setiap pelajarnya.

Industri tuisyen ini bukanlah pengganti kepada sekolah tetapi merupakan pelengkap kepada apa yang dipelajari di sekolah. Tugas guru juga akan menjadi lebih mudah dengan adanya perkhidmatan tuisyen ini. Ini diakui sendiri oleh guru-guru sekolah.

 

 

Oleh sebab itu, sesetengah pelajar akan mudah ketinggalan dalam pelajarannya. Disebabkan oleh bilangan ujian dan peperiksaan yang banyak untuk pelajar di sekolah, guru perlu menghabiskan banyak masa mengadakan persediaan seperti merangka, menyediakan, memeriksa dan menganalisis keputusan pelajar.

Adakah ia merupakan kesalahan guru?

Semestinya tidak. Ini disebabkan oleh guru masa kini mempunyai pelbagai cabaran dalam pekerjaannya. Guru-guru mempunyai pelbagai tanggungjawab selain daripada mengajar seperti menjadi AJK program, penasihat persatuan, menjaga disiplin, memberi nasihat dan sebagainya.

Manakala di pihak ibu bapa pula, mereka mengimpikan anak-anak mereka cemerlang dalam bidang akademik. Cemerlang dalam pelajaran, dan memulakan kerjaya yang berjaya. Tetapi apabila mereka ketinggalan atau inginkan kejayaan yang cemerlang, ibu bapa akan mencari alternatif untuk membantu anak mereka dan salah satunya adalah dengan menghantar anak mereka menghadiri kelas tuisyen.

Dalam keadaan masyarakat hari ini, ramai pelajar mempunyai  ibu bapa yang bekerja, yang mana adakalanya ibu bapa ini tidak sempat untuk membantu anak-anak mereka dalam pelajaran walaupun di hati  mereka, terbit keinginan untuk membantu. Ada di kalangan klien kami merupakan guru sekolah dan pensyarah universiti. Oleh kerana kekangan masa, maka tugas tersebut diserahkan kepada kami.

Ada juga di kalangan ibu bapa yang tidak mahir dalam sesuatu subjek tersebut. Namun begitu, ibu bapa tetap menyedari bahawa anak-anak mereka perlu diberi lebih perhatian. Bagi ibu bapa yang berkemampuan, mereka akan menghantar anak-anak ke sekolah swasta yang terbaik. Yuran sekolah swasta lebih mahal berbanding dengan sekolah kerajaan. Namun, ia sesuai dengan kualitinya. Sebagai alternatif, ada di antara mereka yang memilih untuk menghantar anak-anak ke pusat tuisyen atau mengupah tutor untuk mengajar di rumah.

Adakah kedua-dua perkara ini berbeza?

Ya! Perbezaan antara kedua-duanya adalah di pusat tuisyen, pelajarnya lebih ramai; manakala belajar di rumah, pelajar hanya seorang atau dalam kumpulan kecil, jadi tutor akan lebih fokus kepada pelajarnya.

 

Berani Berubah Untuk Bergelar Tutor Tuisyen!

Ramai yang bertanya, saya bukan guru dan tidak pernah mengajar. Bolehkah saya menjadi tutor tuisyen?

Jika dilihat di sekolah rendah dan menengah di Malaysia, ada juga di kalangan guru yang bukan mempunyai latar belakang pendidikan.

bukan guru sekolah mengajar disekolah guru gstt

Sumber: JPN Kedah http://www.moe.gov.my/jpnkedah/index.php/statistik/bil-pelajar/31-maklumat-jabatan/statistik-sekolah-guru-murid-staf

 

Ini menujukkan bahawa guru yang tidak berlatarbelakangkan pendidikan juga diiktiraf. Walaupun tidak mempunyai pengalaman mengajar, namun ia tidak harus menjadi penghalang kepada anda untuk menjadi tutor. Apa yang perlu adalah anda mengajar subjek yang paling anda minati dan mempunyai keyakinan untuk memahami dan mengajar orang lain. Kebiasaannya apabila kita sudah memasuki kolej atau universiti, pengalaman pengajaran dan pembelajaran kita semakin matang. Jadi, tidak seharusnya menjadi masalah untuk kita mengajar matapelajaran sekolah rendah atau sekolah menengah.

 

‘Mind-setting’ sebagai Tutor Berjaya Dunia & Akhirat

Penepatan minda atau niat ini adalah perkara yang mula-mula sekali dalam menjadi Tutor A+. Penetapan niat yang betul dan mempunyai matlamat yang jelas akan membantu kerjaya sebagai tutor menjadi lebih efektif. Niat yang tulus juga amat ditekan dalam Islam seperti hadis yang pertama dalam himpunan Hadis 40 karya Imam Nawawi.

 

Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : ” Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :  “Sesungguhnya setiap amalan perbuatan adalah dinilai mengikut niat. Setiap orang dinilai dengan niatnya. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasulnya maka hijrahnya dinilai mengikut niatnya menuju kepada Allah dan Rasulnya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia atau wanita untuk dikahwininya maka hijrahnya dinilai mengikut tujuan hijrah itu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Penting untuk menetapkan niat terlebih dahulu sebelum memulakan kerjaya ini, dengan menjawab secara ikhlas soalan-soalan di bawah:

  • Apakah niat anda sebagai tutor?
  • Apakah matlamat anda sebagai tutor?
  • Apakah target anda sebagai tutor?

 

Selain itu, yakin dengan apa yang anda lakukan dan sentiasa bersikap positif dalam apa jua keadaan. Umpama tunjang kepada banyak perkara dalam kehidupan, sikap adalah kunci untuk mencapai kejayaan. Dalam usaha untuk menjadi tutor yang berjaya, adalah perlu untuk mempunyai sikap yang positif. Ibu bapa, guru dan pelajar anda akan tertarik kepada tenaga positif anda dan terus memperkenalkan anda kepada rakan-rakan mereka atas sikap anda yang menarik itu. Inilah yang dikatakan sebagai silaturrahim.

Antara sikap positif yang boleh diamalkan adalah sentiasa berfikiran positif bahawa pelajar anda boleh berjaya walaupun mereka pernah menghadapi banyak kegagalan. Jika dirujuk kepada kisah-kisah orang yang telah berjaya, mereka pernah gagal dalam hidup mereka. Namun, kegagalan itu tidak mematahkan semangat mereka dan tidak menyebabkan mereka sekali-kali tunduk dan jatuh. Bahkan bagi mereka, ialah satu tiket atau pelaburan yang perlu dibayar untuk berjaya.

Begitu juga dengan orang dewasa yang ingin mempelajari ilmu al-Quran & fardhu ain. Walaupun telah dewasa dan berumur, namun berbekalkan keinginan yang tinggi untuk belajar, mereka berusaha untuk belajar. Usahlah sesekali kita memperlecehkan niat atau usaha mereka dan berfikir yang tidak baik tentang masa silam mereka. Ajarilah mereka dengan sabar kerana Allah SWT tidak pernah menilai hasilnya tetapi usaha yang kita lakukan.

Bagi diri sendiri pula, anda perlu mempunyai keyakinan bahawa anda berkemampuan untuk mengajar walaupun anda tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pendidikan. Menurut pengalaman kami, ramai tutor yang pada mulanya berasa tidak yakin untuk mengajar disebabkan tiada pengalaman mengajar sebelum ini. Namun, disebabkan oleh minat yang tinggi dan tunjuk ajar yang diberikan, mereka mampu menjadi tutor yang berjaya dan dapat menjana pendapatan melalui kemahiran yang terpendam dalam diri mereka selama ini. Mengikut pengalaman kami sendiri, kebanyakan orang mampu menjadi tutor yang baik apabila mereka membulatkan niat untuk membantu pelajar dan ibu bapa kerana Allah. Komitmen sebagai ‘home tutor’ juga tidak seberat menjadi tutor di pusat tuisyen atau kelas. Anda hanya perlu mengajar minimum seorang, 2 orang, 3 orang dan paling ramai 6 orang, bergantung kepada keadaan dan permintaan.

Minat dan keghairahan untuk memberi dan membantu orang lain akan memberikan kita suatu kuasa yang luar biasa kepada seseorang manusia dalam melakukan tindakan. Sikap positif ini juga boleh diamalkan oleh anda sendiri untuk menjadi seorang tutor yang berjaya, walaupun anda tidak mengambil jurusan pendidikan atau tiada pengalaman mengajar. Anda mampu berjaya dalam bidang ini dengan syarat anda mempunyai:

  1. Semangat yang kuat untuk membantu orang lain.
  2. Berminat untuk mendidik dan mengajar pelajar tanpa mengira latar belakang mereka
  3. Keghairahan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan orang lain.

 

Walaupun anda pernah gagal pada masa dahulu, ia bukanlah penyebab untuk anda tidak boleh berjaya sebagai tutor. Jika anda bangkit daripada kegagalan itu dan meraih kejayaan kemudiannya, ia merupakan suatu pengalaman yang boleh anda kongsikan bersama pelajar anda agar menjadi inspirasi kepada mereka untuk mengejar kejayaan. Anda juga tidak perlu risau dengan persaingan daripada guru-guru yang lebih berpengalaman, kerana majoriti guru sekolah tidak mengajar ‘home tuition’ disebabkan faktor sibuk dan sebagainya. Jika ada, mereka lebih berminat untuk mengajar di pusat tuisyen atau di rumah sendiri.

Pasaran untuk home tuition juga terlampau luas walaupun terdapat banyak pusat tuisyen. Ini boleh dilihat pada peningkatan pertumbuhan agensi yang menawarkan khidmat ‘matching’ tutor dan pelajar yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Niche pusat tuisyen dan home tuition juga berbeza kerana home tuition mensasarkan pembelajaran fokus dan sesuai untuk pelajar tersebut berdasarkan tahap mereka.

Anda boleh cuba mencari perkataan ‘home tuition’, ‘home tutor’, ‘private tuition’ dan yang berkaitan di enjin carian Google. Pasti anda menemukan banyak laman web agensi yang menawarkan perkhidmatan ‘matching’ di antara tutor dan klien. Ini menunjukkan potensi yang besar dalam bidang ini. Kami juga hampir setiap hari dihubungi oleh klien yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan belajar di rumah disebabkan faktor masa dan kualiti pembelajaran yang ingin diperolehi. 

 

Kenapa bidang ini sangat menarik?

Semakin ramai ibu bapa percaya bahawa tuisyen adalah satu medium berkesan untuk membantu anak-anak mereka cemerlang dalam bidang akademik. Tuisyen telah menjadi suatu keperluan yang penting bagi para pelajar untuk lebih maju dalam bidang akademik. Ini tidak bermaksud pelajaran di sekolah tidak cukup sempurna, tetapi seperti seorang ahli sukan juga, lebih kerap mereka berlatih dan diberi tunjuk ajar, lebih mudah untuk mereka mengecapi kejayaan.

Sehubungan dengan itu, peningkatan dalam permintaan tutor tuisyen sebenarnya adalah seiring dengan peningkatan pelajar di sekolah dan hal ini sebenarnya memberi peluang kepada lebih ramai lagi tutor-tutor di luar untuk menceburi bidang yang mempunyai potensi besar ini.

Selain itu, terlalu ramai pelajar dalam sesebuah kelas menyebabkan agak sukar bagi guru-guru memberi tumpuan yang spesifik bagi setiap pelajarnya. Kemungkinan juga guru ingin memberikan tumpuan kepada semua pelajarnya, namun disebabkan oleh kekangan masa dan komitmen tugasan lain menyebabkan sesetengah pelajar agak ketinggalan berbanding rakan-rakannya yang lain. Disebabkan faktor-faktor ini, ibu bapa menyedari tentang kepentingan masa tambahan untuk anak-anak mereka selepas waktu sekolah. Bagi sesetengah ibu bapa, mereka boleh membantu anak-anak mereka dalam bidang akademik, tetapi kebanyakan ibu bapa mempunyai pelbagai urusan dan jadual kerja yang menyebabkan mereka sukar untuk memberi tunjuk ajar kepada anak-anak mereka. Di sini lahirlah apa yang dinamakan sebagai tuisyen

Syarat kemasukan dan pemilihan kursus berkualiti yang ketat di universiti terkemuka serta institusi pengajian tinggi menyebabkan sebahagian besar ibu bapa dan pelajar mencari alternatif yang dapat membantu mereka bagi mencapai cita-cita yang diinginkan. Terdapat banyak pusat tuisyen, individu, dan kumpulan yang menawarkan perkhidmatan tuisyen; berdasarkan permintaan yang semakin meningkat dan kesedaran bahawa keputusan peperiksaan yang cemerlang dapat membantu anak-anak mereka memilih kursus yang diminati selaras dengan cita-cita mereka.

Diantara sebab inilah memulakan perniagaan atau profesion dalam bidang ini mempunyai masa depan yang cerah. Perkhidmatan ‘home tuition’ mempunyai banyak aspek dan terbuka kepada pelbagai bidang. Anda boleh memberi tumpuan dalam tunjuk ajar akademik dan juga melayan bidang lain seperti mengaji, muzik, seni, dan sukan. Namun, terdapat cara-cara yang akan memastikan bahawa anda akan memulakan kerjaya dalam bidang ini dengan betul disamping meminimakan risiko.

Walaupun hari ini, terdapat pelbagai kemudahan yang selesa dari segi bilik darjah, guru-guru lebih mahir, dan juga alat seperti bahan bercetak, hakikatnya bahawa terdapat lebih banyak tekanan ke atas bahu para pelajar. Inilah sebabnya ibu bapa memerlukan khidmat tutor untuk membantu dan memberi tunjuk ajar kepada anak mereka.

 

Mengapa tutor amat diperlukan?

Sebagai tutor, anda adalah harapan ibu bapa dan pelajar untuk membantu mereka. Tetapi, usah risau dan bimbang. Anda tidak semestinya perlu mempunyai pengalaman mengajar selama bertahun-tahun mahupun mempunyai ijazah dalam bidang pendidikan untuk membantu pelajar. Anda sendiri pernah melalui usia remaja dan pernah menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar. Anda perlu sentiasa sedar terhadap apapun situasi yang dialami pelajar pada pertama kali berjumpa kerana ia turut mempengaruhi prestasi akademik mereka seperti:

  • Mengalami kekecewaan pada setiap masa. Ini adalah tanda utama pelajar-pelajar hilang minat untuk belajar kerana kekurangan bantuan akademik dari orang di sekeliling mereka. Pada mulanya, ini mungkin dianggap fenomena biasa di sekolah. Namun pada akhirnya, tingkah laku ini akan menjadi lebih ketara dan turut memberi kesan di rumah.
  • Gagal berkali-kali dalam menyelesaikan apa-apa tugasan atau kerja sekolah. Ini adalah satu gejala yang amat membimbangkan bagi kanak-kanak itu kerana ini menunjukkan bahawa masalah ini menjejaskan pembelajaran mereka setiap hari di sekolah. Jika tiada tindakan yang diambil untuk mengatasi hal ini ia akan membawa kepada kesan jangka panjang yang kurang baik kepada mereka.

Sesetengah tutor mula menjadikan kerjaya tutor sebagai kerja ‘part time’ di samping mempunyai kerjaya yang utama. Namun selepas merasakan kerjaya ini menunjukkan pendapatan yang lumayan dengan masa yang fleksibel, ada juga tutor menjadikan kerjaya ini sebagai kerja ‘full time’ mereka.

Siapa yang patut mengambil peluang yang hebat ini untuk menjadi seorang tutor bermula sekarang?

 

  1. Pelajar

Pelajar kolej, universiti yang ingin berkongsi ilmu dan mencari pendapatan tambahan. Tahukah anda kerjaya sebagai tutor part time ini menjanjikan pendapatan yang lebih lumayan? Jika dibandingkan dengan kerja separuh masa di restoran ‘fast-food’ yang menggaji pekerja dengan  bayaran yang lebih rendah dan masa dan tenaga yang perlu dilaburkan, kerjaya sebagai tutor menjanjikan peluang-peluang yang lebih  baik dan lebih bermanfaat sebagai satu kemahiran dalam resume kita.

Ramai di antara tutor kami merupakan pelajar IPTA/IPTS seperti:

  • Universiti Malaya (UM)
  • Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
  • Universiti Putra Malaysia (UPM)
  • Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
  • Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
  • Management Science University (MSU)
  • Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Islam, Bangi
  • Taylor’s College
  • Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS)
  1. Orang yang sudah bekerjaya

Orang yang sudah bekerja juga boleh menceburi bidang ini di samping mengisi masa lapang dengan perkara yang bermanfaat serta mendapat ‘side income’. Maka mengajar tuisyen adalah salah satu daripada kerja yang bagus untuk dilakukan.Ramai juga di kalangan tutor merupakan bakal doktor, jurutera, guru, ustaz, ustazah, akauntan, arkitek, peguam dan sebagainya. Siapa kata kita tidak boleh melakukan dua kerja dalam satu masa?

  1. Guru dan pendidik.

Guru yang ingin berkongsi ilmu selain daripada di sekolah adalah mereka yang paling laris dalam pasaran ini. Ini adalah kerana para guru telah dan lebih mengetahui tentang silibus terkini serta perkara-perkara yang ada kaitan dengan peperiksaan serta soalan-soalan yang biasa keluar, teknik pemarkahan dan sebagainya.

  1. Usahawan dan bakal usahawan

Orang yang ingin menjadi usahawan juga amat digalakkan untuk menceburi bidang ini disebabkan ia tidak memerlukan modal. Hanya bakat mengajar diperlukan di mana setiap orang daripada kita sekurang-kurangnya ada kemahiran tersebut di samping komitmen yang diperlukan untuk mengajar.

Menurut nasihat mereka yang berpengalaman dalam dunia bisnes, mereka yang ingin menceburi bidang usahawan disarankan untuk bermula dengan industri perkhidmatan kerana ia melibatkan kos yang kecil dan margin adalah tinggi. Anda tidak perlu membuat sebarang pinjaman untuk memulakan perkhidmatan tersebut.

Pengalaman kami sendiri, kami bermula dengan ‘Home Tuition’ & ‘Quranic Home Based’ sehingga kami mampu membuka bidang-bidang bisnes yang baru tanpa membuat sebarang pinjaman termasuk membeli pusat tuisyen.

 

Apa yang anda Perlu Anda Tahu tentang Pusat Tuisyen?

Pusat Tuisyen

Terdapat banyak yang perlu dipertimbangkan apabila memilih kaedah yang sesuai bagi memberi tuisyen kepada para pelajar. Jika faktor kualiti diambil kira, anda perlu mempertimbangkan supaya pelajar sebaiknya tidak melebih 20 orang dalam sesebuah kelas.

Satu lagi perkara yang penting ialah faktor lokasi. Ibu bapa juga amat menitikberatan faktor lokasi pusat tuisyen yang berdekatan dengan rumah mereka untuk memudahkan mereka menghantar anak-anak mereka di samping dapat menjimatkan kos dan masa.

Selain dari apa yang dimaklumkan oleh guru tuisyen tentang pencapaian pelajar, ‘progress’ pencapaian pelajar-pelajar boleh didokumentasikan agar mudah ibu bapa menilai prestasi anak-anak mereka. Jadi pastikan bahawa perkara penting ini dimasukkan dalam tawaran perkhidmatan.

Ibu bapa memilih untuk mempunyai tutor untuk anak-anak mereka atas sebab-sebab yang berbeza, ia mungkin kerana anak-anak mereka amat memerlukan bantuan yang lebih dalam kerja sekolah, ia juga mungkin kerana pelajar ingin lebih cemerlang dalam pelajaran. Ia juga boleh jadi kerana anak-anak mempunyai masalah pembelajaran. Terdapat banyak sebab. Tetapi semua ibu bapa bersetuju bahawa mereka mahukan yang pembelajaran yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jadi, apakah pembelajaran yang berkualiti untuk pelajar-pelajar ini?

 

Tuisyen Online. Relevenkah di Malaysia?

Tuisyen Online adalah berkaitan tentang menggunakan perkhidmatan web atau internet untuk tutorial atau aktiviti pembelajaran. Pelajar akan belajar dari tutor mereka melalui penggunaan internet seperti skype dan webinar. Maka dengan itu, tutor tidak perlu datang ke rumah pelajar. Hanya tetapkan masa, pembelajaran boleh dimulakan pada bila-bila masa sahaja.  Selain daripada perbincangan dan pembelajaran yang dilakukan melalui internet dan webinar, sebarang ujian, keputusan peperiksaan, dan video pembelajaran juga boleh dilakukan melalui internet.

Terdapat beberapa aplikasi pembelajaran online atau e-learning yang dapat membantu anda untuk mengajar tuisyen dengan lebih efektif. Ini adalah kerana, anda akan dapat memperolehi bahan-bahan, nota, soalan-soalan peperiksaan lepas yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan e-learning ini.

Setiap daripadanya mempunyai kelebihan masing-masing. Ia dapat membantu anda untuk mendapatkan modul, nota dan soalan-soalan tanpa perlu membeli buku-buku di pasaran.

Jika anda seorang tutor merancang untuk menawarkan perkhidmatan tunjuk ajar online, maka ia akan menjadi sangat penting untuk anda mempunyai akses kepada peralatan komputer dengan sambungan internet yang laju seperti streamyx atau unifi bagi mengelakkan gangguan semasa sesi pembelajaran.

Kesimpulannya, terdapat banyak cara untuk mengajar tuisyen. Teruskan pembacaan anda dalam blog ini bagi memulakan dan mengembangkan empayar bisnes tuisyen anda.

 

Ingin menjadi tip sebagai Cikgu Tuisyen yang berjaya?

Baca DI SINI

 

About Mohd Noor

Penulis dan Pemilik Blog coachmohdnoor.com. Pengasas CMN Education Group yang menguruskan lebih 50 cawangan termasuk Tuisyen, al-Quran, tadika dan sekolah swasta di seluruh Malaysia dan UK. Penulis 3 buah buku dan lebih 4 buah ebook. Bersedia dihubungi jika memerlukan bantuan dalam pengurusan tuisyen dan bisnes. Yakin Sebelum Berjaya. #MalaysiaTutorpreneurCoach

Check Also

7 Keistimewaan Membina Kerjaya Sebagai Tutor Tuisyen & Al-Quran

Mengapa ramai yang sudah terlibat dengan tuisyen ini dan anda sendiri perlu melibatkan diri dalam ...